Pendahuluan
Bidang makna atau semantik, sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik kerana bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna. Bahasa, menurut R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Firth (1944) pula menegaskan bahawa makna menjadi inti dalam kajian bahasa. Lazimnya, kata ‘makna’ memberi erti ‘maksud’ atau ‘erti’. Walau bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pengertian lagi. Misalnya, Ogden dan Richard dalam buku The Meaning of Meaning (1956) pernah memberikan 16 pengertian dan erti bagi makna; antaranya, makna adalah suatu yang intrinsik, pokok, kemahuan, dan suatu peristiwa yang diharapkan. Istilah semantik agak baharu digunakan jika dibandingkan dengan istilah bidang-bidang ilmu yang lain iaitu dicipta pada akhir abad ke-19. Bloomfield mentakrifkan makna sebagai suatu bentuk linguistik sebagai keadaan apabila penutur tersebut mengujarkannya dengan gerak balas yang dijangkakan daripada pendengar. Seseorang itu boleh mentakrifkan makna sesuatu bentuk pertuturan dengan tepat apabila makna ini berkaitan dengan pengetahuan saintifik yang dimiliki oleh seseorang ( Leonard Bloomfield, 1992). Menurut Zabech, semantik dalam peristilahan moden digunakan dengan maksud ‘kajian tentang hubungan antara item-item bahasa seperti perkataan, penamaan (nama am dan nama khas), ekspresi predikat. Kata semantik berasal daripada kata adjektif bahasa Yunani semantickos yang membawa makna significant iaitu ‘penting’ atau ‘beerti’ ( Hashim Musa, Ong Chin Guan, 1998). Selain itu, ‘sema’ juga beerti tanda atau lambang. Dalam bidang linguistik, semantik ialah bidang yang mengkaji makna atau erti dalam bahasa ( Nik Safiah Karim, 2001). Semantik atau kajian makna adalah satu bidang yang luas, mencakupi kebanyakan daripada struktur dan fungsi bahasa dan juga masalah dalam kajian psikologi, falsafah dan antropologi. Terdapat beberapa jenis makna dalam bahasa Melayu antaranya ialah, makna konsepsual, makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi, makna kolokatif, dan makna tematik. Jenis-jenis makna ini dapat memberikan gambaran yang tertentu daripada maksud tersurat dan tersirat.
a) Makna Konsepsual
Makna denotatif lazimnya diberi penjelasan sebagai makna yang sesuai dengan pemerhatian. Makna konseptual merupakan konsep makna yang terpenting sekali dalam bahasa. Kita tidak mungkin dapat menentukan makna, memahami ujaran atau membuat interpretasi dengan tidak mengaitkan makna konseptual tersebut. Pemahaman konsep adalah sangat mustahak. Makna ‘konsep’ adalah mencakup komponen seperti benda, tindakan, proses, keadaan, atau konsep lainnya (Abdul Chaer, 1990). Menurut Leech (1974) di dalam makna konseptual, konsep merupakan sesuatu yang asas kerana pokok atau konsep itu sesuatu yang asas dalam komunikasi linguistik. Palmer (1992) menyatakan bahawa konsep adalah sesuatu yang menghubungkan ‘kata’ dan ‘benda’ melalui perantaraan konsep pemikiran.
Interpretasi yang pelbagai wujud kerana manusia meluahkan buah fikiran yang berbeza seperti formulasi yang dibuat oleh Ogden dan Richards (1923), iaitu ‘ segitiga semiotik’. Manusia akan berfikir dahulu sebelum mengujarkan sesuatu perkataan. Sebab itulah dalam formulasi ‘segitiga semiotik’ yang dibuat oleh Ogden dan Richards meletakkan pemikiran itu pada tahap yang atas sekali. Organisasi makna konseptual adalah rumit dan sofistikated (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya perkataan wanita dan perempuan mempunyai makna yang sama iaitu ‘manusia dewasa yang bukan laki-laki’ (Kamus Dewan, 2001). Leech (1974), mengaitkan ‘konsep’ dengan dua prinsip iaitu, prinsip konstrastif dan prinsip struktur konstituen. Contohnya, konotasi antara ‘wanita’ dan ‘perempuan adalah berbeza. Contohnya ‘wanita’ boleh dispesifikasikan sebagai wanita solehah, wanita bekerjaya, wanita dewasa, wanita sopan. Tetapi sekiranya digunakan perkataan ‘perempuan’, ia menjadi kurang sesuai untuk diucapkan. Selain itu, prinsip lain yang boleh diguna pakai dalam organisasi linguistik ialah melalui pembahagian menurut tahap struktur linguistik yang dapat memudahkan pemahaman pengembangan linguistik seseorang. Ujaran linguistik boleh difahami dengan mudah melalui pembahagian tiga tahap ini iaitu Fonologi, Sintaksis, dan Semantik. Bagi penutur tindakan pertama ialah mengenkod makna(ujaran daripada penutur) apa yang hendak dilafazkan melalui ayat atau perkataan dan berakhir dengan bunyi. Bagi seorang pendengar pula, proses ini beralih, iaitu mendengar bunyi-bunyi ayat dan melakukan interpretasi. Dalam menganalisis ayat, peringkat pertama kita perlu buat ialah menetapkan representasi fonologi, representasi sintaksis, dan representasi semantik. Representasi bermaksud sesuatu yang melambangkan, menggambarkan, atau menyatakan sesuatu yang lain, perlambangan, gambaran, atau pernyataan. (Kamus Dewan, 2004). Konsep memainkan peranan penting kepada manusia untuk mentakrif, memahami, memutus buah fikiran. Tanpa konsep, kita tidak mungkin berupaya mewujudkan makna denotatif atau makna sebenar. Makna sesebuah perkataan sering bergantung pada konteks ayat atau situasi penggunaannya, maka makna konseptual atau makna situasional sering juga disebut makna gramatikal (Kushartanti et.al., 2005). Makna gramatikal berbeza pula dengan makna leksikal. Sekiranya makna leksikal itu berkenaan dengan makna leksem yang sesuai dengan referennya, maka makna gramatikal ini merupakan makna yang hadir sebagai akibat berlakunya proses gramatikal, Contohnya seperti, pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan. Misalnya, ber- dalam berjalan, rumah-rumah yang membawa maksud banyak rumah dan penghasilan kata majmuk surat khabar daripada gabungan surat dan khabar. Tetapi menurut Setiawati Dermojuwono, bentuk-bentuk yang berkaitan dengan gramatikal lebih tepat disebut memiliki fungsi gramatikal dan bukannya makna gramatikal. (Kushartanti et.al., 2005)
b) Makna Konotatif
Makna konotatif ialah makna yang ada kaitan dengan nilai rasa, baik positif mahupun negatif ( Nik Safiah Karim, 2004). Sekiranya nilai rasa itu tidak wujud, maka sifat perkataan itu nanti mungkin tidak memihak mana-mana. Walaupun perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama tetapi, kedua-dua perkataan ini mempunyai nilai rasa yang berbeza. Perkataan perempuan mempunyai nilai rasa yang rendah manakala perkataan wanita mempunyai nilai rasa yang tinggi. Samalah juga dengan perkataan jantan dan lelaki. Begitu juga dengan perkataan babi dan khinzir. Bagi masyarakat yang beragama Islam, nilai rasa mereka berbeza dengan interpretasi masyarakat bukan Islam. Bagi umat Islam, babi itu haram, jijik, kotor, najis atau sesuatu yang negatif. Makna konotatif atau makna tambahan ini juga boleh berubah merujuk kepada faktor-faktor tertentu. Contohnya perkataan ‘khalwat’. Perkataan ini pada asalnya membawa maksud ‘mendekati Allah, duduk bersendirian perihal (perbuatan) mengasingkan atau memencilkan diri kerana menenangkan fikiran, bertafakur (Kamus dewan, 2004). Tetapi pada hari ini, maksud perkataan ini telah berubah, iaitu ‘pengasingan diri berdua-duaan di tempat yg terpencil atau tersembunyi, oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami isteri sehingga dianggap sebagai suatu perbuatan yang sumbang ( Kamus Dewan, 2004). Makna Konotatif ini boleh dilihat kepada beberapa aspek iaitu, makna konotatif ini tidak spesifik pada bahasa tetapi dikongsi bersama sistem komunikatif seperti seni visual dan muzik. Contohnya, barangan atau produk yang diiklankan di televisyen tidak sama seperti produk yang diilustrasikan. Kedua ialah, makna konotatif bersifat periferal. Makna konotatif tidak stabil, bervariasi menurut budaya, tempoh masa dan pengalaman individu. Orang yang terpelajar atau orang yang menimba ilmu, dan berpengalaman menjadikannya berbeza pendapat apabila melihat sesuatu atau memberikan pendapat. Ketiga, makna konotatif sukar dipastikan dan bersifat arbitrer dan keterbukaan. Penggunaan kata-kata halus, sedap di dengar, tepat dan sesuai pada masanya telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu. Contohnya, perkataan kudapan digunakan untuk menggantikan minum dan makan pagi dengan mengambil kuih-muih sedikit, iaitu kudap-kudap sahaja (makanan ringan seperti minuman kopi dan kuih-muih yg dimakan sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu minum pagi dan tengah hari atau pada waktu minum petang atau selepas makan malam). (Kamus Dewan, 2004). Makna konotatif ditentukan oleh makna asosiatif dan makna afektif.
c) Makna Denotatif
Menurut Setiawati Dermojuwono di dalam buku Pesona Bahasa, makna denotatif juga sering disebut sebagai makna deskriptif dan makna leksikal. Makna denotatif pada dasarnya sama dengan makna referensial sebab makna denotatif lazimnya diberi penjelasan sebagai makna yang sesuai dengan pemerhatian, menurut penglihatan, pendengaran, perasaan atau pengalaman lainnya. (Nik Safiah Karim, 2004). Makna denotatif berhubung rapat dengan penerangan mengenai fakta yang bersifat objektif, maka ia juga disebut ‘makna sebenar’ , ‘makna asal’ , ‘makna mutlak’ atau ‘makna dasar’. Dengan kata lain makna denotatif ialah ‘makna sebenarnya’. Contohnya, kedua-dua perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama, iaitu ‘manusia dewasa bukan laki-laki’. Begitu juga dengan perkataan gadis dan perawan yang bermaksud ‘wanita yang belum bersuami’ dan pasangan perkataan isteri dan bini yang bermaksud ‘wanita yang mempunyai suami’. Samalah juga bagi perkataan ‘melantak’, ‘makan’, ‘sarapan’, atau ‘soru’. Kesemuanya dikaitkan dengan makan. Tetapi perkataan melantak itu lebih kasar, tidak manis didengar dan tidak mengikut tatasusila yang sering dikaitkan dengan orang Melayu. Masyarakat sering mempunyai pandangan yang berbeza walaupun perkara yang dibincangkan itu sama. Contohnya, suatu ketika dahulu perkataan aku jarang digunakan kerana rasanya keras dan tidak manis didengar. Tetapi sekarang, rata-rata anak muda mengakukan diri mereka apabila berkomunikasi dengan orang lain. Nilai rasa ini sudah menurun.
Merujuk kepada Makna Referensial pula, ia berbeza dengan Makna Nonreferensial. Perbezaan antara makna referensial dengan makna nonreferensial bergantung pada ada atau tidak referen bagi perkataan-perkataan berkenaan (Nik Safiah Karim, 2004). Apabila perkataan mempunyai referen, maka perkataan tersebut mempunyai makna referensial. Contohnya beg, kasut dan pakaian. Perkataan yang tidak mempunyai referen, seperti kerana, namun, walaupun , tetapi dikenali sebagai makna nonreferensial. Perkataan yang termasuk dalam kategori kata penuh seperti makan, tidur, cerdik, cantik tergolong sebagai perkataan yang mempunyai makna referensial. Manakala perkataan yang tergolong sebagai kata tugas seperti kata hubung, kata sendi nama dan kata bantu termasuk dalam perkataan nonreferensial. Makna Leksikal pula adalah perkataan leksikal yang diterbitkan daripada istilah leksikon yang bermaksud kosa kata atau perbendaharaan kata. Unit leksikon ialah leksem iaitu bentuk bahasa yang bermakna ( Ibrahim Ahmad, 1994). Makna leksikal bermaksud makna yang bersifat leksikon, makna yang sesuai dengan referennya, makna yang sesuai dengan pemerhatian alat indera atau makna yang nyata (Adrienne Lehrer, 1992). Makna leksikal biasanya dikaitkan dengan kata sedangkan kosa kata tidak hanya terdiri daripada kata sahaja, tetapi juga terdiri daripada beberapa kata. Contohnya, kambing hitam. Makna kambing hitam bukan merupakan gabungan makna kambing dan makna hitam, tetapi memiliki makna yang tersendiri iaitu ‘orang yang dipersalahkan’. Maka jelas bahawa makna tidak dapat ditelusuri dari makna setiap kata pembentuknya, maka perkataan ‘kambing hitam’ dikatakan mempunyai makna idiomatis ataupun lebih dikenali sebagai makna gramatikal (Kushartanti et.al., 2005).
d) Makna stilistik
Makna stilistik merujuk kepada situasi sosial di mana sesuatu ujaran itu berlaku. Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata yang dilafazkan. Daripada makna stilistik ini, kita dapat menentukan asal-usul atau kedudukan geografis penutur, hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka atau pun kita dapat mengetahui bahasa yang digunakan itu adakah loghat, dialek atau bahasa baku. (Robert Sibarani et.al., 2003). Pertama, fitur atau ciri tetap stilistik boleh dilihat daripada bahasa yang dituturkan oleh individu itu, dialek yang digunakan, dan tempoh masa ia dituturkan. Kedua, wacana yang dibahagikan kepada dua bentuk iaitu, media (samada yang dituturkan, ditulis dan sebagainya), dan penglibatan (dialog atau monolog). Ketiga, fitur sementara stilistik yang dipecahkan kepada, laras (bahasa undang-undang, sains, perubatan), status ( bahasa diraja, slanga, jargona), dan modalitas (bahasa syarahan, berjenakan, ceramah dan sebagainya). Konteks memainkan peranan penting dalam perbualan antara penutur dengan pendengar. Dialek, slanga, jargona, atau status seseorang dapat menentukan siapa orang itu, atau orang ini. Contohnya ayat ini, Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini. Benci sunggung aku melihat muka kau!- Dalam konteks ini, kita mestilah boleh membuat kesimpulan terhadap penutur bahawa penutur itu seorang yang pemarah, tidak penyabar, perungus, atau mungkin kita boleh memastikan status seseorang itu. Namun penilaian kita berbeza apabila terhadap ujaran yang positif. Contoh, ‘rasalah masakan yang dimasak oleh ibu saya ”. Dalam konteks ini kita boleh membuat kesimpulan terhadap penutur, bahawa penutur seorang yang baik hati, dan pemurah. Jadi penggunaan bahasa ketika kita berkomunikasi dapat menentukan siapa penuturnya, status, dan latar belakang penutur, loghat, aksen (tekanan suara pada kata atau suku kata), dialek, pangkat dan sebagainya yang mampu mencerminkan kedudukannya dalam masyarakat, keluarga yang baik-baik, berstatus tinggi dan berpelajaran tinggi.
e) Makna Afektif’
Afektif berkaitan dengan perasaan dan emosi, bukannya fikiran atau daya berfikir (Kamus Linguistik, 1997). Kita dapat membuat rumusan berdasarkan ucapan yang disampaikan berdasarkan nada, intonasi, dan tekanan yang memungkinkan kita membuat interpretasi tentang apa yang diucapkan dan kepada siapa diucapkan. Perasaan seseorang penutur, termasuk sikap penutur terhadap pendengar atau terhadap sesuatu yang ingin disampaikan dapat diperjelaskan dengan baik. Perasaan yang muncul itu mungkin positif dan mungkin juga negatif. Kata jujur, ikhlas, baik hati, bijaksana akan menimbulkan kata afektif yang positif, sedangkan korupsi, kolusi menimbulkan makna afektif yang negatif ( Kushartanti et.al., 2005). Makna afektif biasanya disampaikan melalui saluran konotatif atau konseptual sesuatu perkataan. Contohnya, Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini. Benci sungguh aku melihat muka kau!. Apabila ayat ini diujarkan dengan nada yang tinggi, kita pasti dapat mengenalpasti dengan tepat perasaan penutur ketika itu. Maka faktor intonasi, tinggi rendah suara juga merupakan elemen yang sangat penting kerana ia merupakan salah satu cara kita menyampaikan buah fikiran yang boleh menunjukkan samada kita ‘suka’ atau ‘tidak suka’ kita pada seseorang. Nada sesuatu ujaran boleh mengubah perasaan atau penerimaan terhadap orang lain. Makna afektif juga berperanan penting dalam menyusun teks iklan (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya, ’Teh nikmat berkhasiat’. Nikmat dan khasiat mempunayi nilai rasa yang positif, kerana kata nikmat dan khasiat menimbukan asosiasi dan perasaan positif.
f) Makna Tematik
Tematik bermaksud ‘apa yang dikomunikasikan’ dan isi yang hendak disampaikan dalam mesej. Makna tematik ini boleh disampaikan melalui susunan bunyi, susunan kata, fokus dan tekanan. Contohnya, ayat aktif dan ayat pasif. Contoh ayat,
i) Ibu membeli kuih.(Ayat aktif)
ii) Kuih dibeli oleh ibu.(Ayat pasif)
Kedua-duanya mempunyai nilai komunikasi yang berbeza. Bagi ayat aktif, soalannya ialah, siapa yang membeli kuih?. Tetapi bagi ayat pasif pula, soalannya ialah, ibu membeli apa?- Makna tematik terletak pada pilihan kita sendiri berdasarkan minat, sikap, latar belakang, tekanan emosi dan sebagainya. Tekanan boleh menukar makna. Keadaan ini berlaku apabila penutur mahu menegaskan mana-mana perkataan dalam mana-mana kontruksi (susunan dan kedudukan kata-kata dalam ayat atau rangkai kata) ( Kamus Dewan, 2005). Selain tekanan, panjang pendek perkataan juga memainkan peranan yang penting. Contohnya bahasa yang digunakan oleh syarikat pengiklanan untuk mempromosikan sesuatu barangan atau produk. Contohnya,
Caaaakap banyak, baayar kurang!
Ayat ini boleh mengubah dan mempengaruhi orang yang mendengarnya sekaligus dapat mengubah penerimaan orang terhadap sesuatu barangan atau individu.
g) Makna Asosiatif
Menurut Leech (1976), makna asosiatif adalah makna yang dimiliki sebuah kata dengan kata lain termasuk di dalamnya makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi dan makna kolokatif. Makna asosiatif ialah perkaitan (antara satu dengan yang lain), perhubungan dan pertalian (Kamus Linguistik, 1997). Menurut Setiawati Dermojuwono, makna asosiatif merupakan asosiasi yang muncul dalam benak seseorang apabila mendengar perkataan tertentu ( Kushartanti, et.al., 2005).Asosiasi ini dipengaruhi unsur-unsur psikis,pengetahuan dan pengalaman seseorang.Makna asosiatif biasanya dikaji dalam bidang psikolinguistik (Soenjono Dardjowidjojo, 2003). Makna asosiasi ini sebenarnya sama dengan perlambangan yang digunakan oleh sesuatu masyarakat yang mempunyai kemiripan dengan sifat, keadaan, atau ciri yang ada pada konsep asal kata atau perkataan tersebut. Contohnya, perkataan ‘buaya’ dikaitkan dengan ‘jahat’ atau ‘ganas’ atau membawa erti seorang laki-laki yang suka memujuk dan menipu wanita. Begitu juga dengan kata ‘mawar’ yang bermakna konseptual iaitu sejenis bunga yang kuning tetapi cantik dan berbau harum dinyatakan untuk perlambangan ‘bersih’ dan ‘suci’. Hal ini bermakna sesuatu yang berasosiasi berhubung rapat dengan makna konotatif, stilistik, afektif, reflektif dan kolokatif. Contohnya makna konotatif termasuk dalam makna asosiatif kerana kata-kata tersebut adalah berasosiasi dengan nilai rasa terhadap perkataan itu. Makna afektif pula lebih terasa dalam komunikasi lisan kerana ia berkait rapat dengan perasaan atau emosi pembicara terhadap lawan bicara atau terhadap objek yang dibicarakan dan disampaikan dengan penuh semangat, nada dan intonansi.
Terdapat banyak persamaan makna asosiatif di dalam satu masyarakat bahasa kerana pengalaman, lingkungan dan latar belakang budaya yang hampir sama.Makna asosiatif turut memainkan peranan penting dalam menyusun teks iklan dan bukan sahaja makna referensial sahaja yang mesti ditonjolkan. Makna asosiatif memainkan peranan yang penting untuk pemahaman wacana kerana makna asosiatif dapat menjadi pengikat makna-makna kata sehingga terbentuk pemahaman suatu wacana. Interpretasi bagi sebuah puisi tidak dapat dipisahkan dari makna asosiatif kerana interpretasi puisi menjadi lebih mudah apabila seseorang itu memahami makna asosiatif. ( Kushartanti et.al., 2005)
h) Makna Etimologis
Makna etimologis berkaitan dengan asal-usul kata dan perubahan makna kata dilihat dari aspek sejarah kata. makna etimologis suatu kata mencerminkan perubahan yang terjadi dengan kata tertentu. Melalui perubahan makna kata, kita dapat menyelusuri perubahan nilai, norma, keadaan sosiopolitik, dan ekonomi masyarakat. Perubahan makna kata boleh menyempit atau meluas (Kushartanti et.al., 2005). Contohnya perkataan ‘berkhalwat’. Perkataan ini pada asalnya membawa maksud mengasingkan diri untuk menenangkan fikiran. Tetapi perkataan ini telah disempitkan mencakupi makna duduk berdua-duaan lelaki dan perempuan dalam keadaan yang sumbang di tempat yang terpencil dan tersembunyi. Contohnya. “Muhaiza dituduh berkhalwat dengan seorang lelaki di pangsapuri miliknya semalam”. Selain terjadi penyempitan dan peluasan makna, nilai rasa makna sesuatu kata juga dapat berubah dari negatif kepada positif atau sebaliknya.
Kesimpulan
Bidang semantik mempunyai pelbagai cabang bidangnya. Semantik juga boleh dibahagikan kepada beberapi jenis. Jenis makna dapat dibezakan berdasarkan beberapa kriteria dan sudut pandangan. Perbincangan ilmu semantik juga perlu mengambil kira semua konsep yang terkandung dalam makna. Konsep itu merangkumi semua aspek termasuk keadaan, tindakan, proses atau benda. Dalam penggunaan bahasa, matlamat utama adalah untuk menyampaikan mesej iaitu maksud atau makna yang ingin disampaikan. Mempelajari bidang semantik telah dapat memberi kefahaman kepada kita bahawa secara sedar atau pun tidak kita sebenarnya sentiasa mengujarkan atau memperlihatkan tingkah laku yang mempunyai makna yang tertentu tanpa kita sedari.